Petugas kesihatan meletakkan sampel calitan di dalam tiub selepas membuat ujian saringan Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Kluster MV Glen: Isteri pekerja kapal positif Covid-19

SHAH ALAM, 2 SEPT: Satu lagi kes positif hari ini dikesan dalam kluster MV Glen membabitkan isteri pekerja kapal yang disahkan positif 30 Ogos lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita berkenaan positif selepas aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dilakukan.

“Suaminya merupakan kes ke-9,332. Sehingga hari ini 58 individu telah disaring, tiga positif, 16 negatif dan 39 lagi mesih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Noor Hisham saringan pertukaran anak kapal penting bagi memudahkan urusan memantau kawalan sempadan negara serta mengelakkan pandemik menular.

“Pelbagai tatacara operasi piawai (SOP) dan garis panduan dibangunkan untuk golongan pelaut malah akan terus dipantau serta ditambah baik bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” katanya.

Ahad lalu, Dr Noor Hisham memaklumkan kluster MV Glen sebagai kluster baharu membabitkan kapal di Pelabuhan Klang dan kes indeks dilaporkan positif pada 25 Ogos.


Pengarang :