Mohd Khairuddin Othman (kiri) bersama Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Selangor Muhammad Hafiz Shaari (kanan) pada Majlis Pelancaran Program Selangor Mega Job Fair 2020 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 15 September 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 8,000 individu daftar karnival kerjaya Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Seramai 8,150 individu mendaftar untuk menyertai karnival kerjaya Selangor Mega Job Fair 2020 yang bakal berlangsung di Shah Alam pada 3 Oktober ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata kehadiran peserta dibuat secara berfasa bagi mengelak kesesakan di kaunter masuk.

“Hanya 400 pengunjung dibenarkan berada di dalam premis pada satu-satu masa bagi membolehkan kita menjaga penjarakan fizikal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata penganjur turut mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan antaranya pemeriksaan suhu badan, penyediaan cecair pembasmi kuman dan peringatan memakai pelitup muka.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan seperti polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia bagi memastikan SOP dipatuhi dan program terkawal,” kata Mohd Khairuddin lagi.

Selangor Mega Job Fair 2020 yang menawarkan 24,500 peluang pekerjaan bakal berlangsung antara 3 Oktober hingga 29 Disember ini.

Jumlah itu termasuk beberapa ribu kekosongan yang disediakan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), program membantu anak muda miskin bandar untuk berkhidmat dalam syarikat e-panggilan.

Siri pertama karnival diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) selama dua hari dengan sasaran 15,000 pengunjung.

Orang ramai boleh mendaftar dalam talian bermula 15 September melalui nfdot.com/ereg/views/jobfair/. Pemohon akan diberi kod QR dan disediakan laluan khas di setiap lokasi karnival.

Sembilan lokasi dan tarikh program yang dirancang seperti berikut:

1. SACC, Shah Alam (3 dan 4 Oktober)
2. Stadium Tertutup, Kuala Selangor (10 dan 11 Oktober)
3. Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, Kuala Langat (24 dan 25 Oktober)
4. Pusat Komuniti Gombak, Jalan Madrasah, Gombak (7 dan 8 November)
5. Dewan Seri Cempaka Kajang, Hulu Langat (14 dan 15 November)
6. Dewan Orang Ramai Dengkil, Sepang (21 dan 22 November)
7. Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor (5 dan 6 Disember)
8. Kompleks Sukan Sabak Bernam (12 dan 13 Disember)
9. Dewan Hamzah, Klang (28 dan 29 Disember)


Pengarang :