Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang pada 17 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Rombakan kecil portfolio EXCO minggu depan

KLANG, 17 SEPT: Kerajaan Negeri melakukan rombakan kecil portfolio EXCO yang bakal diumum pada minggu depan susulan pelantikan dua muka baharu hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyusunan barisan EXCO masih diperincikan kerana perlu melakukan perbincangan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu.

“Saya ada masa lebih kurang seminggu untuk berbincang dan menyusun bagi mengukuhkan barisan pentadbiran serta dapat menguruskan agenda negeri.

“Selain mengisi dua kekosongan kerusi, perubahan portfolio hanya melibatkan satu atau dua perkara sahaja termasuk portfolio yang saya pegang,” kata Dato’ Menteri Besar ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan EXCO di Balairung Seri Istana Alam Shah.

Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana dapat menyelesaikan urusan pelantikan EXCO baharu selepas tertangguh beberapa bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 5 Mac, pentadbiran Kerajaan Negeri tidak lagi dianggotai Bersatu selepas mengambil kira dinamik politik semasa peringkat Persekutuan.

Susulan itu Ahli Dewan Negeri Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi memegang jawatan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Perubahan politik turut menyaksikan jawatan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar kosong susulan pelucutan keahlian Haniza Mohamed Talha dalam KEADILAN.

Pada 10 Julai, Dato’ Menteri Besar mengumumkan memangku portfolio perumahan dan kehidupan bandar.


Pengarang :