Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar (tengah) mengetuai kibaran Jalur Gemilang ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah Petaling di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, Shah Alam pada 2 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penjawat awam perlu ambil iktibar kes tular di Sungai Buloh

SHAH ALAM, 2 SEPT: Penjawat awam dinasihatkan mengambil iktibar daripada kejadian tidak diingini yang tular di Sungai Buloh pada awal Ogos lalu, kata pegawai daerah Petaling.

Johary Anuar berkata justeru, golongan berkenaan perlu mengelak terlibat dalam segala aktiviti tidak sihat terutama gejala rasuah.

Katanya, ia juga selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya semua penjawat awam perlu menjauhi amalan salah guna kuasa.

Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita perlu ambil pengajaran dengan kes di Sungai Buloh melibatkan kakitangan awam baru-baru ini, daripada kes itu pelbagai tohmahan diterima.

“Oleh itu, kita perlu mengelak budaya kerja tidak profesional, sebaliknya terus mengamalkan budaya kerja cemerlang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia anjuran Pejabat Daerah Petaling, hari ini.

Pada 15 Ogos lalu, sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuk seorang berpangkat ketua jabatan digantung tugas setelah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penahanan itu susulan aktiviti rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh sejak isu berkenaan tular pada 8 Ogos lalu.


Pengarang :