ADN Muda Seri Serdang, Eshwarii Surendran ketika Sesi Perbahasan Program ADN Muda Secara Maya di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

ADN Muda Seri Serdang saran kekal kawasan tadahan hujan

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri perlu mengekalkan kawasan tadahan hujan yang boleh membekalkan sumber air mentah jika berlaku henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Seri Serdang berkata pembersihan tanah untuk pembangunan dan pertanian memberi tekanan kepada kawasan tadahan walaupun hujan serta pembenihan awan dilakukan.

“Saya mencadangkan supaya pembersihan tanah untuk pembangunan dan pertanian mestilah dielakkan 10 kilometer (KM) dari kawasan tadahan air hujan.

“Perkara ini penting bagi menjaga kawasan tadahan air daripada musnah,” kata Eshwarii Surendran ketika membahaskan usul Kluster Perkhidmatan Air pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjelaskan kawasan itu penting untuk membekalkan air bersih kepada empangan sebelum disalurkan ke rumah dan premis perniagaan.

Selain itu, Eshwarii menggesa kadar denda ditingkatkan sekurang-kurangnya RM100,000 terhadap pesalah atau pemilik kilang yang mencemarkan sumber air.

Menurutnya, langkah ini penting supaya pencemaran air dan bau di LRA dapat ditangani serta krisis bekalan boleh dielakkan.


Pengarang :