AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Kejayaan Kuis capai Tier-4 Setara bukti pendidikan Selangor terus maju

SHAH ALAM, 2 OKT: Kejayaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mencapai saingan keempat (Tier-4) dalam penilaian penarafan Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) menjadi lambang kemajuan pendidikan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri itu yang bermula dengan program diploma di awal penubuhan, kini mampu bersaing dengan institusi pendidikan tinggi lain sehingga menawarkan pengajian di peringkat doktor falsafah.

“Saya pasti kejayaan ini bukan satu pencapaian mudah, ia menuntut pengorbanan tidak berbelah bagi daripada semua yang terlibat dengan pembangunan pendidikan di Kuis sama ada di peringkat negeri mahupun Kuis sendiri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian dalam tayangan video sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kuis di Pusat Konvensyen Kuis, Bangi hari ini.

Amirudin berkata institusi berkenaan menerima suntikan dana RM48.5 juta pada 2016 bagi membangunkan prasarana di kampus itu sekali gus membuktikan Kerajaan Negeri prihatin terhadap pendidikan di Selangor.

“Melaluinya, Kuis membina bangunan akademik baharu yang kini siap 72.2 peratus dan dibina berdasarkan pertambahan bilangan pelajar yang mencapai lebih 9,000 pada 2018,” katanya.


Pengarang :