AGENDANASIONAL

Program Tuisyen Rakyat diteruskan, RM13 juta diperuntuk

SHAH ALAM, 30 OKT: Menyedari akses terhad golongan pelajar sasaran untuk mengikuti pembelajaran dalam talian, Kerajaan Negeri prihatin untuk meneruskan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dengan peruntukan RM13 juta pada tahun 2021.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dianjurkan bagi kemudahan semua pelajar yang mengikutinya.

“Namun begitu, kesan daripada pembelajaran dalam talian dengan bimbingan guru perlu diterapkan dalam PTRS agar penyampaian lebih efektif,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Selain itu, katanya, Selangor akan meneruskan Pembangunan Modal Insan melalui peruntukan RM2.41 juta kerana aspek itu merupakan komponen penting dalam melahirkan rakyat cemerlang yang mampu menjadi aset berharga dan menyumbang kepada negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada masalah pengangguran dengan menyediakan platform dan ruang untuk golongan anak muda mendapatkan pekerjaan melalui program Selangor Job Fair.

“Dengan kerjasama erat bersama JobsMalaysia, program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini, malah dapat memenuhi keperluan syarikat-syarikat bagi mendapatkan tenaga kerja khususnya di tahap kritikal dengan mendahulukan penglibatan di kalangan warga tempatan,” katanya.


Pengarang :