Penghuni kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 November 2020 dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Banyak kes baharu dilapor di Kapar, Semenyih, Klang

SHAH ALAM: Mukim Kapar, Semenyih dan Klang merekodkan banyak kes baharu Covid-19 hari ini, menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

JKNS berkata Kapar merekodkan 241 kes, Semenyih (56) dan Klang (45) daripada keseluruhan 407 kes positif dilaporkan di Selangor.

“Pertambahan kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 adalah 8,594 kes dengan 2,145 daripadanya kes aktif. Setakat hari ini bilangan kematian di Selangor adalah 27 orang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Selangor mencatat kes harian Covid-19 tertinggi hari ini dengan 407 kes. Peningkatan kes berpunca Kluster Teratai iaitu 245 kes dan satu kluster baharu iaitu Kluster Kapas BJ (55 kes).

Sebanyak 1,290 kes Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 1,067 jangkitan di Sabah dan Selangor, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes keseluruhan di negara ini adalah 51,680 dengan 13,222 daripadanya kes aktif.


Pengarang :