Foto yang diambil pada 7 Oktober 2020 menunjukkan jarum suntik pada ilustrasi Covid-19 di Toulouse, barat daya Perancis. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Kes di KL atasi Sabah, 1,013 pesakit sembuh

SHAH ALAM, 15 NOV: Sebanyak 1,208 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan Kuala Lumpur mencatatkan angka tertinggi mengatasi Sabah.

Ketua pengarah kesihatan berkata wilayah itu mencatatkan 475 kes baharu dengan 460 daripadanya dikesan melalui Kluster Tapak Bina Damanlela.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan Sabah pula merekodkan 381 kes manakala Selangor di tempat ketiga dengan 185 kes.

Beliau berkata keseluruhannya sebanyak 47,417 kes Covid-19 dicatatkan sejak penularan virus itu dengan 12,323 daripadanya aktif.

“Berdasarkan jumlah kes hari ini, 594 adalah daripada kluster sedia ada (89.9 peratus). Sebanyak tujuh kes (0.6 peratus) pula berkaitan kluster penjara iaitu Kluster Penjara Seberang Perai (empat), Kluster Penjara Sandakan (dua) dan Kluster Penjara Kepayan (satu),” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata seramai 1,013 pesakit lagi berjaya sembuh, menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 34,785 kes, iaitu 73.4 peratus daripada keseluruhan kes.

Sementara itu, katanya, sebanyak 104 kes dirawat di unit rawatan rapi dengan 42 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian lagi hari ini menjadikan jumlah yang maut sebanyak 306 kes,” kata beliau lagi.


Pengarang :