Kelihatan orang awam mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka sebelum memasuki kedai ketika tinjauan di Jalan Besar, Klang pada 10 Okt 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Dua kluster baharu dikesan, babit 35 kes positif

SHAH ALAM, 4 NOV: Kementerian Kesihatan mengesan dua lagi kluster baharu di Selangor, Kluster Aero dan Lengkuk.

Ketua pengarah kesihatan berkata setakat hari ini Kluster Aero membabitkan 11 kes positif dan semua dikesan di Petaling.

“Kes ke-35,186 dikenal pasti sebagai kes indeks yang disahkan positif semalam. Berikutan itu 95 kontak rapat sudah disaring, 84 individu negatif.

“Kluster Lengkuk melibatkan daerah Sepang dengan 24 kes positif. Kes ini turut membabitkan daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau di Negeri Semhilan manakala kes indeksnya kes ke-29,916 disahkan positif pada 28 Oktober,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Beliau berkata sebanyak 18 kes positif dari dua kluster itu dilaporkan hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan penamatan kluster Embun di Hulu Langat yang dilaporkan awal Oktober selepas tiada jangkitan baharu.

“Sebanyak tujuh kes positif dari kluster ini dan saringan membahitkan 247 individu. Tiada kematian dilaporkan,” katanya.


Pengarang :