AGENDANASIONAL

Keputusan tangguh Piala Malaysia 2020 kekal – menteri

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Kerajaan masih kekal dengan keputusan untuk menangguhkan kempen Piala Malaysia 2020 sebagai langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), selaku badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M), telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar saingan itu diteruskan, keputusan itu kekal bagi mengelak risiko penularan wabak itu dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.

Beliau, bagaimanapun, berkata sekiranya penularan wabak itu dapat dikawal sebaiknya dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang, saingan bola sepak itu mungkin boleh diteruskan.

“Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara mendapati bahawa bahaya jangkitan boleh berlaku di dalam padang apabila ada sentuhan (ketika perlawanan) kerana sentuhan (antara pemain) memang tak dapat dielakkan.

“Keduanya, jumlah pemain dan petugas juga ramai misalnya ketika sesi latihan, mungkin mereka naik bas bersama, malah dalam bilik persalinan juga susah untuk kawal SOP (tatacara operasi piawai),” katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Ismail Sabri menegaskan saingan bola sepak tempatan itu berbeza dengan persembahan hiburan, seperti dibandingkan sesetengah pihak.

Beliau berkata SOP bagi persembahan hiburan lebih mudah dilaksanakan berbanding perlawanan bola sepak seperti Piala Malaysia.

“(SOP persembahan) hiburan seperti ini lebih mudah (dilakukan) sebab tiada penonton. Semua yang terlibat pakai pelitup muka. Namun, tidak mungkin pemain bola sepak nak pakai pelitup muka di atas padang,” katanya.

Semalam, MFL dilapor mengemukakan rayuan kepada MKN agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan kempen Piala Malaysia 2020.

Isnin lalu, Ismail Sabri memaklumkan mesyuarat MKN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia memutuskan supaya saingan Piala Malaysia ditangguhkan buat seketika.

– BERNAMA


Pengarang :