Kakitangan Luas meletakkan sebanyak 43 beg karbon aktif bagi menangani insiden pencemaran bau Sungai Kuang, Rawang susulan kebakaran kilang memproses plastik pada 30 Oktober 2020. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: 13 kes cemar air selesai tanpa ganggu bekalan

SHAH ALAM, 30 NOV: Sebanyak 13 kes pencemaran air berjaya diselesaikan tanpa mengakibatkan gangguan bekalan air sepanjang tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lapan kes pencemaran tidak dapat dielak terutamanya membabitkan bau kerana tiada teknologi khusus bagi mengesan masalah itu.

“Itu menjadi kekangan utama dan kita hanya bergantung kepada bau dari hidung manusia semata-mata.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 21 kes pencemaran sumber air yang berjaya dikesan dan berisiko mengakibatkan henti tugas loji rawatan air (LRA),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Khamis lalu, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim berkata Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berjaya mengawal lebih 60 peratus kes pencemaran sumber air sepanjang Januari hingga 30 Oktober lalu.

Ia membabitkan sembilan tumpahan minyak, tujuh pencemaran bau, tiga babitkan efluen industri serta akualkultur dan satu kes kekeruhan.

Oktober lalu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi mengatasi isu sumber air menerusi empat projek bermula tahun ini.

Ia membabitkan projek rintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong, pantauan dan pengawasan 24 jam di kawasan berisiko, tambahan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk berisiko dan projek mengepam air mentah kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih.

 


Pengarang :