Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan bengkel membaiki jentera berat ketika Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di Kampung Dato Lim Kim Sai, Rawang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Lapan premis haram di Sungai Rawang diroboh, risiko cemar air

GOMBAK, 24 NOV: Sebanyak lapan premis haram di tebing Sungai Rawang berhampiran Kampung Dato Lee Kim Sai dirobohkan mulai hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata premis melibatkan enam bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula didapati melanggar Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.

“Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak diarah mengambil tindakan segera terhadap struktur haram yang berisiko menyebabkan pencemaran sungai.

Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media selepas taklimat Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di Menara Majlis Perbandaran Selayang, Batu Caves. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

“Hari ini kita robohkan dua struktur iaitu bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat. Baki enam premis lagi dirobohkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat Operasi Roboh Binaan Haram di Lembangan Sungai Selangor di Menara MPS hari ini.

Ditanya sama ada operasi merobohkan premis haram di tebing sungai turut dilaksanakan di daerah lain, beliau berkata tindakan dilakukan secara berperingkat.

“Kita mulakan operasi meroboh di Selayang dan Rawang dahulu sebab banyak kes pencemaran sungai berpunca dari lokasi ini, selepas ini kita laksana operasi di tempat lain pula,” katanya.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan bengkel simpanan jentera berat ketika Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di Kampung Dato Lim Kim Sai, Rawang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

Semalam dua lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air di Selangor melibatkan kesalahan terhadap keselamatan negara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

R Nathan, 42, seorang kontraktor dan Lim Kian Aik, 42, pengarah syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mereka didakwa bagi mencapai niat bersama melakukan sabotaj dengan niat mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, Gombak antara 2 dan 10 November lepas.

Perobohan bengkel membaiki jentera berat dilaksanakan Majlis Perbandaran Selayang ketika Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di Kampung Dato Lim Kim Sai, Rawang bagi mengelakkan pencemaran air berulang sehingga menjejaskan loji rawatan air. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

Pengarang :