Pasukan Red Giants memulakan latihan pertama di Negeri Sembilan pada 23 Oktober 2020 sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia. Foto: Facebook FA Selangor
AGENDASUKANKINI

MFL: Piala Malaysia dibatalkan, MKN tolak rayuan

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk membatalkan baki perlawanan Piala Malaysia pada musim ini selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak rayuan dikemukakan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu semalam.

Keputusan berkenaan dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata MFL akur dengan keputusan MKN untuk tidak membenarkan kejohanan bola sepak tertua Asia Tenggara itu diteruskan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Dis ini.

Beliau berkata MFL membuat keputusan berkenaan demi kesihatan dan keselamatan semua pihak terlibat dalam kejohanan Piala Malaysia, selain menghormati kontrak pemain pasukan Liga-M yang bakal tamat hujung bulan ini.

“Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Kerajaan telah menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan Piala Malaysia 2020.

“Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini, MFL menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan Piala Malaysia 2020 yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan, tetapi seperti saya katakan MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata MFL mengambil keputusan untuk membatalkan saingan Piala Malaysia kerana lapan pasukan yang sudah mengesahkan tiket ke suku akhir, bakal berdepan dengan ketiadaan pemain selain perlu menanggung kos lebih tinggi.

Sementara itu, beliau memaklumkan Terengganu FC yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini diberikan slot kedua ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 susulan pembatalan Piala Malaysia 2020.

Berdasarkan format yang dicadangkan MFL sebelum ini, juara Piala Malaysia bakal mengisi slot kedua Piala AFC 2021.

Johor Darul Ta’zim (JDT) yang meraih kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014, layak secara automatik ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2021, manakala naib juara Liga Super musim ini Kedah mengisi slot pertama ke Piala AFC 2021.

MFL pada Selasa lepas mengemukakan rayuan rasmi kepada MFL untuk meneruskan baki saingan Piala Malaysia pada musim ini dengan SOP ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat di tempat yang tidak dikenakan PKPB.

MFL mencadangkan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan dan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang digunakan sebagai gelanggang berkecuali untuk aksi suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, MKN memutuskan saingan Piala Malaysia ditangguhkan ke suatu masa ditetapkan kemudian kerana berpandangan kejohanan yang melibatkan sentuhan antara pemain boleh menyebabkan risiko jangkitan COVID-19.

Aksi suku akhir Piala Malaysia menyaksikan juara bertahan JDT berdepan Kuala Lumpur; Pulau Pinang menentang UiTM FC; Terengganu FC melawan Perak dan Kedah berdepan juara 33 kali Selangor.

Pusingan pertama Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 8 Nov lepas sementara aksi suku akhir dijadual pada 12 dan 13 Nov, separuh akhir (17 Nov) dan final pada 22 Nov ini.

– BERNAMA


Pengarang :