EXCO Kerajaan Negeri Rodziah Ismail bercakap kepada media selepas penyerahan Geran Peralatan SITHAM di Seksyen 20, Shah Alam pada 18 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sitham: 25 usahawan India terima bantuan alat niaga

SHAH ALAM, 19 NOV: Seramai 25 usahawan India di negeri ini menerima bantuan peralatan perniagaan menerusi program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).

EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata sumbangan berkenaan membuktikan Kerajaan Negeri komited membangunkan ekonomi semua kaum.

“Daripada 175 permohonan yang berjaya, 25 sudah terima bantuan peralatan perniagaan bernilai di antara RM5,000 hingga RM8,000.

“Disebabkan permohonan amat menggalakkan, program Sitham akan diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM500,000,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan peralatan jahitan kepada seorang ibu tunggal, Juliana Francis, 55, di Flat PKNS Seksyen 20, di sini semalam.

Hadir sama Pengurus Koperasi Wisma Kohijrah, Mohammad Shukri Ismail, Ketua Komuniti India (KKI) Taman Batu 3, Murugiah Munusamy dan KKI Rimba Jaya, Rt Saravanan.

Sementara itu, Mohammad Shukri berkata program Sitham memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan mereka.

Katanya, penerima dari Kajang, Shah Alam, Kelana Jaya, Puchong, Ijok, Rawang dan Sungai Tua sudah pun menerima bantuan berkenaan.

“Antara barangan yang diberi ialah mesin jahit, mesin jahit tepi, peti ais dan pelbagai barangan lain untuk memudahkan mereka berniaga.

“Matlamat kita ialah supaya mereka dapat melonjakkan perniagaan dan pada masa sama membantu individu lain memperoleh peluang pekerjaan,” katanya.

 


Pengarang :