Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Loh Pit Mui (kiri) menunjukkan meter air yang telah diubahsuai secara tidak sah untuk disalurkan kepada rumah kongsi tapak pembinaan projek lebuh raya dalam satu serbuan yang dilakukan oleh SPAN di Sungai Manggis Kuala Langat hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Span serbu tapak bina lebuh raya disyaki curi air

BANTING, 18 NOV: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyerbu sebuah tapak pembinaan projek lebuh raya di sini kerana disyaki mencuri air dengan melakukan penyambungan paip secara haram.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Loh Pit Mui berkata siasatan awal mendapati sambungan paip haram berkenaan dilakukan sejak Januari lepas bagi membekalkan air untuk kegunaan pekerja projek pembinaan lebuh raya itu.

“Kami kesan penyambungan paip secara tidak sah dilakukan daripada meter air di sebuah kebun kecil berhampiran tapak pembinaan berkenaan. Sambungan paip itu kemudiannya disalurkan ke rumah kongsi pekerja.

“Ujian klorin yang dilakukan terhadap air dalam sebuah tangki rumah kongsi tersebut mendapati ia adalah air terawat sedangkan hasil semakan Air Selangor menunjukkan tiada sebarang meter air berdaftar di tapak projek itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi mengejut di tapak pembinaan berkenaan di Sungai Manggis di sini hari ini.

Menurut Loh, perbuatan menyambung paip secara haram itu telah menyebabkan Air Selangor menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM80,000.

Katanya, Air Selangor akan mengemukakan notis tuntutan kerugian penggunaan air terhadap kontraktor projek pembinaan tersebut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

– BERNAMA

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Loh Pit Mui menunjukkan sampel air yang diambil bertukar menjadi warna merah jambu selepas diuji bagi menentukan air yang dibekalkan adalah air terawat. Air berkenaan disalurkan secara tidak sah kepada rumah kongsi tapak pembinaan projek lebuh raya ketika SPAN melakukan serbuan di tapak tersebut di Sungat Manggis Kuala Langat hari ini.
Foto BERNAMA

Pengarang :