Ir Izham Hashim bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sungai Gong projek rintis teknologi nano rawat sungai tercemar

SHAH ALAM, 26 NOV: Sungai Gong dijadikan projek rintis penggunaan teknologi nano yang bertindak merawat sungai tercemar, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata projek melalui Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) itu akan diluaskan ke Sungai Sembah dan Sungai Semenyih dalam usaha mengekang pencemaran sumber air.

“Kehebatan sistem ini adalah dapat mengekalkan habitat diatom (sel dalam air) walaupun air mengalir. Diatom ini berfungsi dalam proses fotosintesis untuk mengeluarkan oksigen.

“Proses (oksigen) ini yang akan aktif melawan pencemaran. Yang penting kita kena pastikan diatom ini dijaga dan tidak mati untuk kurangkan pencemaran,” katanya ketika Taklimat Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih Akibat Pencemaran hari ini.

Menurutnya, sistem hasil gabungan teknologi dari Amerika Syarikat dengan tempatan itu akan menghapuskan bau, minyak, gris, logam berat, pepejal terampai dan terlarut dalam pencemaran selain memastikan kelangsungan hidupan akuatik.

“Kajian dijalankan selama seminggu menunjukkan hasil apabila mengesan perubahan warna dan bau serta penurunan kadar pencemaran,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM200 juta bagi membendung masalah pencemaran air menerusi empat projek dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

 


Pengarang :