Orang awam keluar dari Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves selepas menunaikan solat Jumaat pada 26 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais benarkan solat Jumaat, fardu berjemaah di tiga daerah

SHAH ALAM, 10 DIS: Semua masjid dan surau di tiga daerah negeri ini dibenar melaksanakan solat Jumaat serta fardu berjemaah berkuat kuasa serta-merta.

Pelaksanaan meliputi 130 masjid, 21 surau kebenaran Jumaat dan 453 surau di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dengan penjarakan 1.5 meter.

Bagaimanapun, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata ketetapan baharu itu tidak termasuk mukim Kuala Selangor berikutan situasi terkini penularan Covid-19.

“Kebenaran kehadiran jemaah solat Jumaat dan fardu ini hanya untuk warganegara sahaja,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata program pengimarahan seperti kuliah maghrib, subuh dan dhuha serta bacaan yassin turut dibenarkan, dengan syarat penceramah dari zon hijau sahaja.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan umat Islam seluruh negeri untuk meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Penguatkuasaan SOP tegas oleh pentadbir masjid dan surau, pencegahan, kawalan kendiri, doa, zikir serta munajat yang diamalkan pasti membantu mempercepat ketetapan sama di seluruh negeri,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor kecuali tiga daerah dilanjutkan sehingga 20 Disember.


Pengarang :