Pengarah Urusan AFY Haniff Group (M) Sdn Bhd (kanan) dan Pengurus Pemasarannya Nurul Adilah Aris bergambar kenangan bersama produk keluarannya selepas sesi temu bual ekslusif bersama Bernama mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Ibu Pejabatnya di Taman Seri Telok Mas, baru-baru ini. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Kempen beli barangan Malaysia pupuk semangat patriotik

Oleh Shaidathul Suhana Ros

MELAKA, 4 DIS: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dilaksanakan bagi memupuk semangat cintakan barangan buatan Malaysia, mula menunjukkan respon positif dalam kalangan pengguna di negara ini sekali gus meningkatkan keyakinan mereka terhadap produk buatan tempatan.

Rata-rata usahawan di Melaka berpendapat kempen itu perlu dipergiat dengan lebih komprehensif dan inklusif bagi memulih dan merancakkan semula sektor peruncitan di dalam negara sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Susulan daripada usaha giat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam melaksanakan KBBM, Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen pada 6 Nov lepas turut memperuntukkan RM360 juta dalam usaha untuk menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan.

KBBM pupuk semangat patriotik

Seorang usahawan produk isi rumah, Amirul Firdaus Yunus, 35, berkata KBBM dan Kempen Jualan Malaysia (KJM) 2020 yang dilaksanakan secara serentak adalah satu pendekatan yang terbaik dan berkesan bagi mewujudkan lebih banyak permintaan bagi barangan dan perkhidmatan keluaran tempatan.

Ketua Operator Mohamad Hafeezal Abdul Latiff, 27, melakukan proses pembotolan produk Serai Wangi Insect Repellent (SWiPEL) ketika tinjauan mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di kilang pemprosesan ANY Haniff Group (M) SDN BHD di Taman Seri Telok Mas, baru-baru ini. Foto BERNAMA

Amirul Firdaus, yang juga Pengarah Urusan AFY Haniff Group (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Taman Seri Telok Mas di sini, berkata program berkenaan mampu menggalakkan pengguna mengutamakan pembelian barangan buatan Malaysia sekaligus meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

“Menyokong atau membeli barangan Malaysia membuktikan rakyat di negara ini amat sayang dan cintakan tanah air dan berdasarkan pemerhatian saya, bagi rakyat yang patriotik mereka akan lebih terbuka dan menyokong produk keluaran tempatan yang bukan sahaja membantu pengusaha tempatan malah membantu ekonomi negara.

“Ia penting kerana secara prinsipnya kejayaan atau kegagalan kempen ini bergantung sepenuhnya kepada rakyat Malaysia kerana dalam konteks ini kita adalah pengeluar dan kita juga adalah pembeli. Yakinlah ada banyak produk tempatan yang bukan sahaja murah, malah lebih baik kualitinya,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Beliau berpendapat, semangat patriotisme tidak sekadar mengibarkan Jalur Gemilang ketika sambutan Hari Kebangsaan ataupun menyanyikan lagu Negaraku semata-mata, sebaliknya membeli barangan tempatan serta sokongan kepada industri dan pengusaha tempatan juga adalah satu tindakan menzahirkan semangat cintakan negara yang sangat terpuji.

Usahawan lebih bermotivasi tingkat kualiti produk

Amirul Firdaus yang mengusahakan produk berasaskan serai wangi seperti penghalau serangga dan pencuci, penyegar udara dan fabrik, sabun pencuci pinggan serta pencuci tangan berbuih, berkata imej negara mampu dipertingkatkan sekiranya kualiti produk tempatan meningkat seiring dengan permintaan dan mencapai standard antarabangsa.

“Apabila rakyat semakin teruja membeli barangan tempatan, pengeluar akan menjadi lebih bermotivasi dan akan terus berusaha meningkatkan kualiti produk,” katanya sambil menambah harga produk yang dijual di syarikatnya yang sudah beroperasi 14 tahun itu adalah antara RM2.50 dan RM30.90.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor itu berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas demi memutuskan rantaian Covid-19 memberi ruang kepada pihaknya melakukan inovasi formula untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti tinggi.

“Selepas pengumuman pelaksanaan tempoh PKP, pengoperasian AFY Haniff Group turut terhenti dalam tempoh sebulan setengah, namun pada tempoh tersebut kita berpeluang melihat semula empat jenama produk kita iaitu Swipel, D’menc, 40 Days dan Plash.

“Kami kemudian mengembangkan formula inovatif untuk menambahkan agen antibakteria ke dalam produk D’menc (penyegar udara dan fabrik) dan Plash (pencuci tangan berbuih) yang boleh membunuh hingga 99.9 peratus kuman,” jelas beliau.

Bagi produk 40 Days (sabun pencuci pinggan), Amirul Firdaus dan pasukannya melakukan penambahbaikan formulasi produk itu yang meningkatkan lagi keupayaan menanggal kesan minyak dengan lebih berkesan.

Mengenai produk Swipel (penghalau serangga dan pencuci), beliau berkata mereka telah lama mengetahui bahawa produk itu mempunyai agen anti bakteria tetapi tidak melakukan sebarang ujian makmal untuk membuktikan kehadirannya.

Jadikan produk tempatan sebagai pilihan utama

Seorang usahawan produk kesihatan, Suzana Abu Talib, 37, berpendapat bahawa pengguna seharusnya bijak dalam memilih barangan dengan menjadikan produk tempatan sebagai pembelian pilihan utama dan bukan lagi sebagai pembelian alternatif apabila terdesak atau tiada pilihan.

Suzana, yang juga Pengarah Urusan Suzana The Beauty Touch yang beroperasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, berkata ini kerana ia berupaya membantu pengeluar domestik dan keseluruhan rantaian pembekalan.

“Menerusi konsep ini, tiada aliran keluar tunai, sebaliknya setiap perbelanjaan yang dibuat bakal berlegar dalam ekonomi domestik. Malah amalan membeli barangan tempatan sepanjang masa dapat menjimatkan perbelanjaan dan boleh digunakan lebihan wang berkenaan untuk perbelanjaan lain termasuk penabungan.

“Pembelian produk tempatan juga secara tidak langsung menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan kerana akan berlaku peningkatan dalam corak pembelian yang mencetuskan pertumbuhan lebih banyak industri tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Pengusaha produk minyak terapi pudina itu berkata, syarikatnya turut terjejas dengan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan kemerosotan nilai jualan sekitar 40 peratus iaitu sekitar RM15,000 bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding RM25,000 bagi tempoh sama tahun lepas.

Perniagaan secara dalam talian, runcit

Pada 17 Nov lepas, Bernama melaporkan KPDNHEP menyasarkan peningkatan hasil jualan sebanyak 1.5 peratus pada suku keempat daripada nilai jualan RM1.6 bilion bagi suku ketiga dalam KBBM tahun ini, meskipun negara bergelut dengan ancaman Covid-19, menerusi ekosistem ekonomi digital dan infrastruktur e-dagang yang diguna pakai ketika ini.

Menurut Suzana platform ‘marketplace’ yang mempunyai jumlah pengunjung tertinggi di Malaysia termasuk Shopee dan Lazada banyak membantu meningkatkan prestasi nilai jualannya pada masa kini di samping pengguna tetap yang setia membeli produk minyak terapi pudina yang mula dijual sejak September 2017.

Pada masa kini, pengguna lebih gemar membuat urusan jual beli secara dalam talian ditambah dengan faktor situasi semasa iaitu pelaksanaan PKP yang menyaksikan pergerakan pengguna terhad, justeru peningkatan jualan menerusi ‘marketplace’ itu menunjukkan pengguna cenderung berbelanja secara dalam talian.

“Dalam tempoh PKP ini usahawan seharusnya mengambil peluang dalam digitalisasi perniagaan supaya mereka dapat menjana lebih banyak pendapatan ketika negara berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi, selain itu, syarikat kami turut menggunakan konsep kedai runcit menjadi ejen kepada produk keluaran kami.

“Dua produk kami iaitu Zana Therapy Oil dalam bentuk botol premium dijual dengan harga RM49 manakala dalam bentuk botol ‘roll-on’ dijual pada harga RM10 dan produk itu diedarkan di 88 kedai runcit termasuk stesen minyak dan kedai makan dan dengan cara itulah ia membantu jualan kami sepanjang PKP ini,” katanya.

KPDNHEP, Motac turut bantu usahawan kraftangan

Seorang usahawan kraftangan, Norhayati Saleh, 55, berkata KPDNHEP menerusi KBBM dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) banyak membantu usahawan kraftangan tempatan yang terkesan akibat Covid-19 meningkatkan produk keluaran mereka.

Norhayati, yang juga pemilik syarikat Paling Atas Enterprise yang beroperasi di Batu Gajah, Merlimau, Jasin berkata industri kraf sebelum ini merekodkan jualan pelbagai produk kraf yang memberangsangkan di dalam dan luar negara, namun kerancakannya tergugat termasuk perniagaan pembuatan songkoknya akibat pandemik itu.

Pengarah Urusan Suzana The Beauty Touch Suzana Abu Talib melakukan demonstrasi bagi menghasilkan ‘Zana Therapy Oil’ selepas sesi temubual ekslusif dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di pejabatnya, baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Pengguna sewajarnya membeli barangan buatan Malaysia, khususnya produk kraf kerana kualiti penghasilannya adalah bermutu tinggi terutamanya dari segi ketahanan dan keseniannya selain memenuhi cita rasa pengguna. Terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan KBBM dan ia satu penghargaan kepada usahawan tempatan.

“Motac turut membangunkan platform e-marketplace iaitu MyCraftShoppe yang membolehkan usahawan kraftangan memasarkan produk mereka secara dalam talian berkonsepkan ‘global reach local identity’. Apatah lagi syarikat kami tidak dapat beroperasi seperti biasa ketika PKP dan hanya menerima tempahan secara dalam talian,” katanya.

Tambahnya, justeru itu semua pengguna di negara ini perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha menyokong dan menjayakan matlamat KBBM dan pada masa sama PKS tempatan juga perlu terus meningkatkan kualiti produk masing-masing bagi meningkatkan keyakinan pembeli mahupun pelabur.

Usahawan dan pengguna jadi tulang belakang jayakan KBBM

Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata KBBM adalah satu usaha bagi membantu usahawan tempatan untuk terus kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa susulan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pelaksanaan PKP sejak Mac lepas.

Beliau berkata, bagi memperkasakan kempen yang diusahakan KPDNHEP itu, sokongan daripada semua pihak amat penting dalam memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang dikehendaki.

“Kemunculan Covid-19 menjadi risiko perniagaan yang tidak dijangka oleh ramai usahawan. Tempoh PKP disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan pandemik itu menyebabkan pemberhentian sementara beberapa sektor perusahaan tempatan.

“Rakyat negara ini perlu menjadi tulang belakang dalam menjayakan kempen tersebut bagi membantu aliran ekonomi negara untuk sentiasa berjalan lancar sekali gus memastikan pasaran produk tempatan dapat diperluaskan,” katanya.

Untuk rekod, KBBM adalah susulan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dilancarkan pada 1998. Penjenamaan semula kempen itu bertujuan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia serta membantu pengusaha tempatan dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Ia juga bagi mewujud serta meningkatkan kesedaran masyarakat bahwa kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia adalah setaraf dengan piawaian antarabangsa.

– BERNAMA


Pengarang :