Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas majlis simbolik penyerahan sut perlindungan diri kepada Jabatan Penjara dan basikal elektrik serta luncur jet kepada Polis Diraja Malaysia di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Pelbagai inisiatif disusun tahun depan bantu rakyat terjejas

SHAH ALAM, 31 DIS: Dato’ Menteri Besar percaya ramai dalam kalangan rakyat melalui pelbagai kesukaran untuk meneruskan hidup sepanjang tahun ini ekoran jangkitan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menyedari hal itu Kerajaan Negeri menyusun banyak inisiatif bagi membantu golongan terkesan untuk bangkit kembali.

“Saya faham kenaikan kes mendadak di Selangor melahirkan rasa gelisah kepada kita tetapi kehidupan, bekerja, menuntut ilmu dan sosial tetap perlu diteruskan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Menyedari hal ini, Kerajaan Negeri menyusun banyak inisiatif bagi membantu rakyat bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin pertama sehingga ketiga menerusi Belanjawan Selangor 2021,” katanya dalam kenyataan perutusan tahun baharu 2021 hari ini.

Selangor Kerjaya dengan latihan kemahiran baharu (new skill), tingkat kemahiran (upskilling) dan pulih kemahiran (reskilling) merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri mengurangkan pengangguran sekali gus membasmi kemiskinan. Foto ARKIB SELANGORKINI

Beliau berkata antara program yang dirangka adalah Niaga Darul Ehsan (NaDi) iaitu pinjaman perniagaan serendah RM1,000 untuk rakyat memulakan perniagaan, Selangor Kerjaya dan Pekerja Sambilan Selangor bagi meraih pendapatan.

“Kerajaan Negeri turut secara agresif mempersiap beberapa platform agar rakyat tidak kira kaum, usia atau jantina dapat bersama sertai gig ekonomi dengan mengadakan e-Dapur bersama Grab dan jualan dalam talian e-Bazar bersama Shopee.

Kerajaan Negeri mewujudkan e-Dapur Selangor menerusi Platform Selangor (Plats) dan e-panggilan Grab bagi membantu peniaga meneruskan perniagaan selepas bazar Ramadan dibatalkan susulan penularan Covid-19. Foto Facebook Amirudin Shari

“Tidak ketinggalan mereka yang mahu berkhidmat bersama syarikat e-panggilan tetapi tidak mempunyai lesen motor, kita bantu dengan Inisiatif Roda Darul Ehsan (Ride),” katanya.

Amirudin berkata dalam anjakan ke arah pendigitalan, Kerajaan Negeri menawarkan inovasi baharu seperti Rakan Digital Selangor yang akan melatih dan membimbing masyarakat ke arah Revolusi Industri 4.0.

Selain itu, katanya, program Bantuan Yuran Universiti (Bayu) dan Pusat Tuisyen Rakyat tetap diterus bagi memastikan anak muda tidak terjejas pengajian akibat pandemik.

“Ini semua penting agar kita semua lebih bersiap siaga dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran dan tentangan ekonomi masa depan, terutamanya dalam situasi perebakan Covid-19 yang masih belum reda,” jelasnya.

Amirudin Shari menampal pelekat Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) pada motosikal penerima inisiatif dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada masa sama, beliau berkata Selangor tetap berusaha menarik sektor industri seperti fintech, pertanian bandar, permainan siber untuk terus berdaya saing dengan pelaburan besar (Selangor Innovation Fund).

“Kerajaan Negeri berhasrat melahirkan syarikat ‘unicorn’ yang akan menghasilkan berbilion dolar dan benar-benar melampaui Malaysia dan pergi lebih jauh di pentas dunia.

“Semoga lembaran baharu tahun 2021 memberi nikmat kesihatan dan kemakmuran untuk seluruh warga Selangor tanpa seorang pun tercicir atau tertinggal, kepada Allah kita panjatkan segala harapan,” tambahnya.


Pengarang :