Selangorkini
Pelukis-pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, (kiri) dan Mahadi Ayob, 36, (kanan) bergambar bersama hasil lukisan mural mereka yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020 untuk program pengindahan Kuala Lumpur di dinding luar Terowong Bukit Nanas dan di Air Terjun Bukit Nanas. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Mural, karya seni jalanan ubah wajah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Kuala Lumpur bakal berubah wajah menjadi ibu kota seni jalanan yang diceriakan lukisan mural gergasi pelbagai konsep menerusi pengindahan lorong belakang dan lorong sisi pelbagai bangunan di sekitar bandar raya ini, secara berperingkat.

Mengambil ilham kejayaan bandar raya seperti Melbourne, Australia yang terkenal dengan kreativiti seni jalanan sehingga menjadi tarikan di mata dunia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dalam fasa kajian reka bentuk dan penelitian aspek teknikal bagi menjayakan impian itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata selepas kejayaan projek perintis seperti transformasi lorong sisi Changkat Bukit Bintang pada Mac 2018 yang sebelum ini gelap, berbau dan kotor, pihaknya akan memperluas projek pengindahan ke lorong lain yang telah dikenal pasti.

Beliau berkata selain Bukit Bintang, antara yang bakal dinaik taraf adalah Lorong Sultan dan Lorong Petaling, terletak berhampiran Pasar Karat dan Petaling Street atau Chinatown bagi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung untuk membeli-belah dan bersantai.

“Pasar Karat biasanya menjadi sasaran peminat barangan antik manakala Petaling Street terkenal dalam kalangan pelancong juga menjadi mercu tanda Kuala Lumpur.

“Namun ramai masih menganggap lorong seperti ini sebagai kawasan hitam, tidak selamat dan usang, jadi projek ini akan memberi imej baharu yang lebih bersih, selamat dan ceria,” katanya kepada Bernama.

Program pengindahan Kuala Lumpur diteruskan dengan penghasilan lukisan mural memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna di dinding luar Terowong Bukit Nanas dan di Air Terjun Bukit Nanas. Kawasan ini dijangka akan menarik lebih banyak kunjungan pelancong di masa akan datang dan menjadi ‘insta-worthy area’ apabila siap kelak. Foto: BERNAMA

Mahadi berkata bagi Lorong Sultan, lukisan mural yang dicadangkan setakat ini akan memaparkan sejarah berkaitan kawasan terbabit, paparan papan tanda antik selain naik taraf infrastruktur, sistem saliran, cat dan turap semula jalan, penambahan lampu jalan serta cadangan konsep light box advertising.

Lukisan mural yang dirancang di Lorong Petaling pula disasar menjadi tarikan pengunjung untuk mengabadikan memori dengan sifat lukisan yang estetik dan Instagrammable (sesuatu yang menarik secara visual dan sesuai untuk disiarkan di aplikasi media sosial Instagram).

Pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA

“Naik taraf ini juga akan merancakkan sektor ekonomi terutamanya peluang perniagaan di sekitar kawasan berkenaan dengan pengunjung tidak hanya datang untuk membeli-belah tetapi juga pelbagai aktiviti santai lain seperti bergambar yang juga dijangka merancakkan perniagaan makanan,” katanya.

Menurut beliau, projek naik taraf kedua-dua lorong itu juga

merupakan kesinambungan kepada pengindahan lorong sisi Yap Ah Loy, Lorong Bandar 11 dan Lorong Bandar 13 yang akan dihubungkan menerusi laluan pejalan kaki bagi membolehkan ia diterokai dengan lebih mudah.

Mahadi berkata lukisan di setiap lorong memaparkan konsep, tema dan identiti berbeza mengikut latar belakang dan sejarah kawasan selain mengambil kira pandangan komuniti setempat.

“Misalnya komuniti di Jalan Alor mahukan warna-warna terang dan ceria, jadi imej seperti rama-rama dan pelangi dipilih,” katanya.

Bercerita lanjut tentang perkembangan projek sulung di kawasan Bukit Bintang, Mahadi berkata sehingga kini sebanyak enam lorong belakang dan sisi telah berubah wajah melibatkan lorong sisi dan belakang di Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Berangan, Jalan Rembia dan Jalan Tengkat Tong Shin.

Dua lagi projek iaitu untuk mewujudkan taman poket di persimpangan Jalan Rembia (di hadapan Hotel Malenge) serta pesta makanan di lorong sisi Jalan Rembia dan Jalan Alor masih dalam peringkat perancangan, katanya.

Pelukis-pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, (kiri) dan Mahadi Ayob, 36, (kanan) sedang tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA

“Kita lihat pelaksanaan ini juga memberi impak yang signifikan dari aspek sosial yang wujudnya perasaan sayang dan kekitaan selain mengambil peranan untuk menjaga kawasan,” katanya.

Mahadi berkata kalau dulu komuniti hanya duduk dalam bangunan, kini mereka selesa keluar untuk menjalani pelbagai aktiviti yang diminati di luar bangunan selain menjadi ruang awam untuk masyarakat berkomunikasi dan berhubung.

Transformasi itu juga, katanya, meningkatkan nilai sewa kedai sehingga 40 peratus, mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan termasuk di unit kosong yang sudah lama ditinggalkan.

Tambahnya selain lorong belakang dan sisi, DBKL juga mempertimbangkan kawasan sesuai untuk dicantikkan dengan lukisan mural misalnya di bahagian luar bangunan, kotak jana kuasa elektrik dan dinding di sepanjang laluan pejalan kaki seperti yang dilaksanakan di sekitar projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) serta kawasan Bukit Nanas.

Mahadi berkata Pasar Borong Kuala Lumpur juga antara yang telah diberi nafas baharu dan dihias dengan lukisan mural menerusi penganjuran pertandingan yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Kami juga melihat potensi Pasar Borong Kuala Lumpur untuk menjadi kawasan tarikan pelancong seperti Queen Victoria Market, Melbourne, Australia. Namun banyak aspek perlu diteliti dan ditambah baik bagi mencapai hasrat ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :