AGENDAEKONOMINASIONAL

Nilai mampu urus tanggungan lain sebelum beli rumah

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Portal hartanah PropertyGuru Malaysia mengingatkan mereka yang berhasrat membeli kediaman agar berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan muktamad berikutan persekitaran pasaran hartanah yang sarat dengan pelbagai tawaran menarik ketika ini.

Pengurus Negara Sheldon Fernandez berkata mereka terbabit bukan setakat perlu mengambil kira kos pemilikan hartanah semata-mata tetapi sama ada benar-benar mampu menanggungnya selain mengurus perbelanjaan lain.

“Secara keseluruhannya, belian hartanah itu adalah untuk mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan yakin mengenai jaminan pendapatan di masa depan.

“Mereka yang berada dalam kedudukan sedemikian akan berdepan dengan pelbagai pilihan di pasaran hartanah semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tahun ini, transaksi membabitkan hartanah telah menyaksikan penyusutan yang ketara.

Menurut laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 Bank Negara Malaysia (BNM), transaksi hartanah merosot sekurang-kurangnya 25 peratus dari segi jumlah dan nilai.

Fernandez berkata, pasaran hartanah bagaimanapun terus menunjukkan tanda-tanda berdaya tahan berikutan penurunan transaksi yang lebih rendah daripada jangkaan awal dengan sebahagiannya didorong oleh pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ini termasuk kadar faedah yang terendah dalam sejarah, usaha promosi pemaju hartanah yang agresif, persaingan sengit dalam kalangan penjual hartanah serta insentif di bawah program Kempen Pemilikan Rumah.

Beliau berkata, Kajian Sentimen Pengguna oleh PropertyGuru Malaysia menunjukkan 57 peratus daripada responden menyuarakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri menjelang akhir 2021 manakala seorang daripada setiap enam responden pula merancang untuk menangguhkannya.

“Oleh kerana ramai rakyat Malaysia yang merancang untuk mempunyai rumah sendiri pada tahun depan, akan ada beberapa aliran utama yang membantu memudahkan lagi usaha tersebut.

“Ini termasuk insentif bagi mendorong persekitaran makroekonomi, langkah-langkah kerajaan dan pemaju hartanah serta digitalisasi dalam industri hartanah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :