Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin dan solat Jumaat sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-75 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 11 Disember 2020. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan hadiri bacaan yasin, solat Jumaat sempena hari keputeraan

SHAH ALAM, 13 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-75, Jumaat lalu.

Pada majlis sama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, baginda turut menunaikan solat Jumaat berjemaah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan tetamu jemputan khas lain.

Khutbah solat tersebut dibaca Imam Besar, Sahibul Fadhilah Ustaz Muhammad Farhan Wijaya, bertajuk “Titah Sultan, Maslahah Ummah”.

“Antara intipatinya adalah Sultan merupakan pemerintah yang wajib ditaati malahan titah baginda amat jelas mengajak kepada kebaikan. Justeru, sebagai rakyat kita hendaklah menjunjung kasih nasihat dan titah DYMM Sultan serta mentaatinya.

“Sesungguhnya peranan dan sumbangan baginda sebagai ketua agama Islam tidak dinafikan lagi malah isu yang menganggu gugat Islam turut menjadi penekanan dalam titah baginda,” kata Selangor Royal Office menerusi Facebook hari ini.

Khutbah itu turut menekankan menjadi tanggungjawab Sultan bagi memastikan negeri, rakyat dan agama Islam sentiasa sejahtera, maju dan terpelihara serta baginda berperanan penting sebagai pelindung rakyat berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, dalam mendepani wabak Covid-19 baginda sering bertitah menekankan semua pihak berwaspada, berdisiplin dan patuh kepada SOP bagi menangani serta memutuskan rantaian wabak berkenaan.


Pengarang :