Seorang pekerja asing diperiksa suhu badan ketika beratur untuk pemeriksaan dengan pihak berkuasa kesihatan di pasar baharu susulan penularan Covid-19 di Bangkok, Thailand pada 22 Disember 2020. Foto REUTERS
AGENDA GLOBAL

Thailand mungkin perkenal langkah tambahan kekang Covid-19

BANGKOK, 23 DIS: Thailand mungkin memperkenalkan langkah tambahan bagi mengekang penularan Covid-19 di negara itu dengan lebih 1,000 kes dikaitkan dengan pasar makanan laut tertutup di wilayah barat daya Samut Sakhon dilaporkan sejak minggu lepas.

Dalam satu pengumuman ke seluruh negara Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata, beliau akan berbincang dengan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) sebelum sambutan tahun baru.

“Saya akan umumkan peraturan tambahan yang mungkin sesuai untuk situasi ini. Ia satu keputusan yang memerlukan rancangan yang betul,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand merekodkan 427 kes baru Covid-19, termasuk 397 pekerja asing di pasar makanan laut di wilayah Samut Sakhon di mana penutupan dan perintah berkurung pada waktu malam telah dikenakan sehingga 3 Januari, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Selain itu, 16 kes lagi dilaporkan pada Selasa, juga dikaitkan dengan pasar makanan laut di lapan wilayah berbeza, termasuk lima di Bangkok. Selain itu, 14 lagi kes import dilaporkan di negara tersebut.

Sehingga kini, lebih daripada 1,000 kes dilaporkan dikaitkan dengan pasar makanan laut tertutup, di mana kes indeks dipercayai seorang penjual udang berusia 67 tahun yang diuji positif virus itu minggu lepas. Kebanyakan pesakit adalah asimptomatik atau tidak bergejala.

Thailand merekodkan 5,716 ks Covid-19 dengan 60 kematian.

Sementara itu Prayuth berkata, peningkatan Covid-19 baru-baru ini di Samut Sakhon itu disebabkan oleh pendatang asing.

“Jaringan yang membawa pendatang asing haram ke negara ini, mereka mesti dihukum tanpa sebarang pengecualian, tidak mengira sama ada mereka mungkin mereka yang berjawatan rasmi atau tidak.

“Kita perlu ingat, dengan hanya seorang atau dua yang tidak menjaga tanggungjawab sosial mereka dan bertindak cuai atau demi kepentingan diri, jutaan akan merana,” katanya.

Prayuth berkata, beliau akan terus memastikan jabatan kerajaan saling bekerjasama, mendengar nasihat pakar dan meningkatkan lagi bekalan vaksin.

“Kini pada masa ini, ketika ribut Covid-19 semakin buruk di luar negara kita, kita mesti lebih berhati-hati. Saya memohon kerjasama berterusan dan bersatu padu dalam usaha ini,” katanya.

Sementara itu jurucakap CCSA Thaweeslip Wissnuyothin berkata pihak berkuasa turut menggesa 1,000 orang daripada 22 wilayah yang pergi ke pasar makanan laut dari 1 hingga 18 Disember, untuk menjalani ujian Covid-19.

“Sesiapa yang telah ke pasar perlu menjalani ujian,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :