AGENSISELANGOR

Yide: Raja Muda Selangor sumbang RM100,000 bina kompleks anak yatim

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyumbang RM100,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) untuk pembinaan Kompleks Anak Yatim di Pulau Indah.

Majlis sumbangan diadakan di Istana Kayangan semalam serta dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Azmie Diron.

Pengurus besar Yide berkata pihaknya telah mengumpul RM6.6 juta dan masih memerlukan RM3.4 juta dan menyasarkan kutipan sumbangan itu meningkat pada suku pertama serta kedua tahun depan.

“Bagi merealisasikan kompleks yang akan menempatkan 200 anak yatim dalam satu masa diusahakan dengan kerjasama Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor, Yide giat menjalankan promosi serta memperkenalkan pelbagai platform bagi memudahkan sistem sumbangan,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Terdahulu, Raja Muda Selangor berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan perancangan semasa projek pembinaan Kompleks Anak Yatim, Ikon Mahabbah Yide dan projek pembekalan perubatan kepada asnaf di Selangor dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor.

Yide mengajak orang ramai, syarikat korporat, agensi berkaitan kerajaan untuk bersama menyumbang dan memuliakan anak yatim dengan terus menyumbang melalui Bank Islam bernombor akaun: 1223 40100 07330 atau melalui dalam talian Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ atau Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.

Setiap sumbangan diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi Yide.


Pengarang :