Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Emile Muller, Mulhouse, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: Pembelian vaksin Pfizer ambil kira dos kedua

PUTRAJAYA, 8 JAN: Pembelian 12.8 juta dos vaksin Covid-19 Pfizer mengambil kira keperluan dos kedua untuk rakyat dalam tempoh 21 hari selepas suntikan pertama, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata polisi Malaysia dalam pemberian vaksin ialah jika seseorang itu diberikan suntikan pertama, maka individu tersebut perlu menerima suntikan kedua kerana ia berpandukan kepada ujian klinikal Pfizer.

“Jadi kita akan memberikan suntikan kedua dalam tempoh 21 hari, tidak melebihi tempoh tersebut melainkan ada data klinikal yang baharu,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas amaran oleh firma Jerman, BioNTech yang membangunkan vaksin Pfizer dengan gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), bahawa tiada data bagi menyokong keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 sekiranya pemberian dos kedua dilengahkan melebihi tiga minggu.

Amaran itu dikeluarkan ekoran kebimbangan mungkin ada negara lebih mengutamakan pemberian dos pertama dan seterusnya kekurangan bekalan bagi suntikan dos kedua dalam tempoh masa ditetapkan.

Khairy berkata bekalan vaksin yang bakal diperolehi tidak akan dihabiskan kerana tempoh menunggu untuk bekalan seterusnya akan memakan masa melebihi 21 hari.

Mengenai pembelian vaksin Covid-19 dari Rusia, Khairy berkata Malaysia masih dalam rundingan untuk membeli vaksin dari Rusia itu kerana tawaran menarik yang turut menawarkan pemindahan penyelidikan dan pembangunan dalam membina kapasiti penghasilan vaksin di Malaysia.

Katanya, pelan pemberian vaksin telah dibentangkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) semalam dan seterusnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu hadapan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan kerja dengan cemerlang dalam menyediakan pelan imunisasi apabila vaksin diperolehi seperti proses pendaftaran kepada sesiapa yang ingin mengambil vaksin secara sukarela, latihan kepada kakitangan kesihatan yang melaksanakan imunisasi dan tempat untuk mendapat vaksin.

Malaysia akan mendapatkan bekalan awal 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini.

Melalui perjanjian itu, Pfizer berjanji menghantar sejuta dos bagi suku pertama 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

-BERNAMA

 


Pengarang :