Petugas menunjukkan poskad dan aplikasi e-Cencus yang digunakan bagi melengkapkan proses bancian penduduk ketika sidang media pelaksanaan banci penduduk dan perumahan Malaysia (MyCensus2020) di Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jabatan Perangkaan susun semula gerak kerja banci bersemuka

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Gerak kerja Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka akan disusun semula berdasarkan tiga kategori pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pejabat Pesuruhjaya Banci 2020 DOSM memaklumkan tatacara operasi piawai (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci Malaysia 2020 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara akan digunakan dalam pembancian fasa kedua.

Selain itu menurut pejabat tersebut, pembancian bersemuka pula dibenar untuk dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tidak dibenarkan di kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagi kawasan yang tidak dibenarkan itu, maklumat banci akan dikumpul secara dalam talian melalui platform e-Census (Banci Dalam Talian) dan kaedah panggilan telefon mengikut kesesuaian.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua pihak memainkan peranan penting dalam bersama melandaikan lengkukan kes Covid-19, sekali gus DOSM telah membuka semula platform e-Census.

“Berdasarkan respons yang diterima sehingga kini, seramai 8.8 juta atau 27.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020.

“Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diseru mengisi maklumat banci secara dalam talian dan bagi mereka yang memerlukan ID untuk mengisi e-Census, boleh berhubung dengan Helpdesk melalui [email protected] atau merujuk kepada DOSM Negeri berdekatan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan disahkan negatif Covid-19 semalam, menerusi ujian saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan.

Mohd Uzir akan terus menjalani kuarantin kendiri sehingga 15 Januari dan situasi itu tidak akan menjejaskan urusan pentadbiran DOSM, menurut kenyataan tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :