Selangorkini
AGENDA NASIONAL

KWSP cawangan Shah Alam tutup untuk sanitasi

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabat dan kaunter Shah Alam mulai esok sehingga diberitahu kelak, selepas beberapa kakitangan di cawangan itu diuji positif Covid-19.

Ini sebagai mengikuti arahan daripada Kementerian Kesihatan untuk premis yang terlibat dengan pandemik, agar dijalankan pembasmian kuman dan sanitasi.

“Pekerja tersebut kini dalam rawatan manakala pengesanan kontak sedang dijalankan,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Semua kakitangan di cawangan itu akan mengambil ujian swab dan jika didapati positif, akan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari.

Semua cawangan lain akan meneruskan langkah penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai pencegahan lain dalam mengurangkan penularan wabak Covid-19.

“Anggota dinasihatkan untuk berurus niaga secara dalam talian melalui i-Akaun bagi perkhidmatan tertentu atau menjadualkan semula lawatan mereka ke satu tarikh yang akan datang melalui kemudahan Janji Temu Online jika terdapat keperluan untuk hadir ke cawangan KWSP secara peribadi,” katanya.

Selain itu, cawangan Lahad Datu akan dibuka semula pada 4 Feb selepas ditutup sejak 20 Jan apabila beberapa kakitangannya diuji positif Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :