Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Liu Ying optimis peluang ke Sukan Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Pemain beregu campuran profesional negara Goh Liu Ying optimis mampu menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun berdepan ketidaktentuan dalam penyertaan kejohanan antarabangsa susulan penularan pandemik Covid-19.

Bekas pemain kebangsaan itu mendedahkan beliau dan pasangannya Chan Peng Soon tidak mahu berada pada zon selesa walaupun kini menduduki ranking ketujuh dalam ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Saya rasa memang akan ada persaingan di antara kami dengan dua lagi pasangan negara (Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai) bagi merebut dua slot ke Olimpik, tapi belum tahu lagi siapa yang layak kerana kami sendiri tidak pasti mengenai kejohanan yang bakal diadakan disebabkan Covid-19,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Liu Ying dan Peng Soon bakal menyertai dua kejohanan antarabangsa pada bulan ini iaitu Yonex Terbuka Thailand dari 12-17 Jan, serta Toyota Terbuka Thailand dari 19-24 Jan ini.

Namun kedua-dua kejohanan berkenaan yang masing-masing menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$1 juta (RM4.022 juta) tidak dikira sebagai mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

“Kami sertai dua kejohanan ini untuk mendapatkan semula rentak permainan setelah hampir sembilan bulan tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa akibat pandemik Covid-19,” jelas pemain kelahiran Melaka itu yang kali terakhir menyertai Kejohanan Badminton Seluruh England pada Mac lalu.

Pasangan beregu campuran nombor satu negara itu pernah beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan mereka memenangi pingat perak pada penampilan sulung temasya sukan terbesar dunia itu.

Baru-baru ini, BWF mengumumkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo akan dikira bermula dengan Kejohanan Terbuka Switzerland yang dijadualkan berlangsung dari 2-7 Mac 2021, sebelum Kejohanan Terbuka India dari 11-16 Mei nanti menjadi peluang terakhir pemain negara memburu slot ke Tokyo.

Keputusan pemain yang layak ke Tokyo bakal ditentukan menerusi ranking Race to Tokyo yang bakal dikeluarkan BWF pada 18 Mei 2021 dan kedudukan ranking berkenaan turut akan digunakan BWF bagi menentukan kedudukan pemain pilihan pada Sukan Olimpik nanti.

– BERNAMA


Pengarang :