Laman sesawang Selangor Kerjaya menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja menepati kekosongan jawatan.
AGENSISELANGOR

Selangor Kerjaya tawar kelainan, jadi contoh negeri lain

SHAH ALAM, 28 JAN: Program Selangor Kerjaya menawarkan kelainan dengan menyediakan latihan secara dalam talian serta membantu proses temu duga pemohon.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata inisiatif itu membantu majikan mendapat pekerja yang menepati kekosongan jawatan selain bimbingan mentor untuk memantapkan prestasi kerja.

“Sebagai negeri maju dan penyumbang utama ekonomi negara, Selangor sentiasa ke hadapan untuk melaksanakan pelbagai daya usaha serta landasan kepada belia untuk memajukan diri.

“Justeru MBM berharap usaha ini menjadi contoh kepada negeri lain supaya kita dapat mengimbangi kesan penularan Covid-19,” kata Jufitri Joha kepada SelangorKini.

Pada Selasa, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pekerja terpilih menerusi Selangor Kerjaya bakal menjalani latihan secara dalam talian bersama syarikat besar atau ternama dengan bimbingan mentor untuk memantapkan prestasi serta menyesuaikan diri dengan pekerjaan baharu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut seiring usaha membantu warga Selangor meningkatkan kemahiran, menjalani latihan semula kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada.

Selangor Kerjaya menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun pascawabak Covid-19 dan sebagai permulaan, 2,000 peluang disediakan kepada lepasan universiti, vokasional dan sekolah menengah.


Pengarang :