Orang ramai menjalani Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tidak wajar adakan PRU, tumpu usaha tangani Covid-19

SHAH ALAM, 20 JAN: Pilihan raya umum (PRU) tidak wajar diadakan dalam masa terdekat sebaliknya segala usaha harus ditumpu bagi memerangi wabak Covid-19.

Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Selangor berkata semua pihak perlu bekerjasama bagi membincangkan kaedah untuk mengatasi pandemik itu habis-habisan.

“Adakah cara kerajaan menangani virus ini betul atau tidak? Saya juga mempunyai pandangan tertentu, justeru saya rasa tidak wajar jika PRU diadakan dalam masa terdekat,” tegas Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Orang muda dan rakyat mahu kita selesaikan masalah ini (Covid-19) kerana ia akan menyebabkan kita diheret ke lembah lebih sukar yang memberi kesan pada ekonomi, politik dan keupayaan negara.”

Bercakap ketika menjadi ahli panel bual bicara bertajuk Politik Generasi Muda: Darurat Rakyat vs Darurat Politik, Amirudin turut mengajak semua pihak meneliti masalah dan penyelesaian wabak itu.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menegaskan masalah politik tetap berlarutan sekalipun pilihan raya diadakan berikutan wujud banyak desakan dan tarikan dari mana-mana pihak.

“Ia (Covid-19) boleh datang balik. Vaksin juga benda baharu, bagaimana kesannya. Kita kena selesaikan ini dahulu, kalua tidak rentetan politik berterusan,” tegasnya lagi.


Pengarang :