Petugas kesihatan Selcare memasukkan sampel saringan Covid-19 ketika Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes harian Selangor kembali empat digit

SHAH ALAM, 16 FEB : Kes positif Covid-19 di Selangor hari ini kembali kepada empat digit dengan merekodkan 1,300 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu 645 kes daripada kluster sedia ada dan baharu.

“Manakala 422 kes lagi daripada saringan kontak rapat dan 233 daripada lain-lain saringan Covid-19.

“Terdapat empat kluster baharu di negeri itu hari ini iaitu kluster Rawang Bestari, Jalan Industri Dua Belas, Jalan Industri Tiga dan Jalan Lazuardi yang melibatkan jangkitan di tempat kerja,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, terdapat dua pertambahan kematian di negeri itu membabitkan warganegara berusia 56 dan 74 tahun.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan sebanyak 1,282 pesakit sembuh menjadikan keseluruhan pulih 84,503.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 4,428 manakala keseluruhan Selangor mengumpul 89,153 kes positif sejak pandemik melanda,” katanya di Facebook.

 


Pengarang :