Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami dagangan suram minggu depan dengan harga berada dalam jajaran kecil di antara RM3,450 dengan RM3,750 satu tan, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata prestasi itu mungkin mengalami kecenderungan negatif sedikit susulan jangkaan data eksport yang lembap pada minggu depan.

“Pengumuman mengenai cukai eksport MSM baru-baru ini akan mengurangkan permintaan terhadap komoditi itu,” katanya kepada Bernama.

Mengikut pekeliling yang dipaparkan di laman web Lembaga Minyak Sawit Malaysia pada Khamis lepas, Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkata cukai eksport MSM dikekalkan pada lapan peratus bagi Mac 2021 bagi nilai RM3,977.36 satu tan.

Pada harga rujukan ini, duti yang perlu dibayar adalah RM318.19 satu tan atau US$78.88, berbanding RM292.61 satu tan atau US$72.52 pada Februari (harga rujukan: RM3,657.67 satu tan).

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya tinggi, menjejaki prestasi harga minyak kacang soya yang lebih baik di Lembaga Perdagangan Chicago serta data eksport yang lebih kukuh.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Mac 2021 naik RM78 kepada RM3,914 satu tan, April 2021 meningkat RM154 kepada RM3,712 satu tan, Mei 2021 menambah RM176 kepada RM3,522 satu tan dan Jun 2021 menokok RM180 kepada RM3,380 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 324,566 lot daripada 201,652 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 256,112 kontrak daripada 220,640 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Februari Selatan berkurangan RM10 kepada RM3,930 satu tan.

– BERNAMA

 


Pengarang :