Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan MPSJ Puchong Indah, Puchong pada 28 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan percuma Covid-19 di Taman Puchong Indah hari ini

PUCHONG, 28 FEB: Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri berlangsung hari ini di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Taman Puchong Indah di sini.

Saringan bersasar secara percuma menumpukan penduduk berhampiran Kampung Sri Langkas, Taman Dahlia, Taman Puchong Perdana, Puchong Permata 2 dan Kampung Seri Andalas.

Seramai 35 petugas kesihatan Klinik Selcare dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang lengkap mengenakan sut perlindungan diri memulakan proses saringan pada jam 9 pagi hingga 4 petang.

Kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam tempoh kurang 30 minit selain mereka yang hadir perlu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa MPSJ, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Apam).

Selain Dewan MPSJ, program saringan hari ini dijalankan serentak di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Taman Dato’ Harun Petaling Jaya.

Semalam, saringan diadakan di Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang dan Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.


Pengarang :