Niel Shofia Fitrah Abdul Muthalib, 18, mempelajari teknik dan kaedah menjawab soalan peperiksaan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 ketika tinjauan pada 5 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tanpa peranti elektronik lengkap tidak halang pelajar ikuti eptrs.my

BANTING, 5 FEB: Kekurangan kelengkapan peranti elektronik dan komunikasi tidak menghalang seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pembelajaran melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Berbekalkan sebuah telefon bimbit dengan capaian internet kurang memuaskan, Niel Shofia Fitrah Abdul Muthalib, 18, tetap memanfaatkan inisiatif pendidikan percuma disediakan Kerajaan Negeri itu.

Pelajar aliran sains rumah tangga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom berkata peluang itu tidak seharusnya disia-siakan biarpun tiada kemudahan secukupnya untuk mengakses portal pendidikan eptrs.my .

“Kebanyakan pelajar kalau mengikuti kelas dalam talian mungkin lebih selesa menggunakan komputer riba menerusi paparan skrin besar, saya yang mengimpikan kemudahan sama terpaksa berpuas hati menggunakan telefon bimbit yang kecil.

“Ditambah dengan jaringan internet perlahan sehingga kadangkala meminjam data adik yang juga memerlukannya untuk belajar tetapi kekangan ini tidak melunturkan semangat saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Niel berkata portal memuatkan pembelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, matematik dan sejarah adalah pecutan terakhir diperlukan calon sebelum menempuh SPM memberi pendedahan berhubung teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan.

“Program dengan kaedah video dan belajar perkara baharu daripada kepakaran guru berbeza sangat bagus memandangkan fokus kepada strategi menjawab soalan, lebih-lebih lagi pelajar tiada lagi masa mengulang kaji semua silibus menjelang SPM,” kata pelajar yang menggemari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu.

Portal tersebut antara inisiatif dalam Pakej Kita Selangor yang dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan STPM.

Platform itu memuatkan pembelajaran lima subjek untuk SPM, manakala pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia menunda tarikh peperiksaan SPM dan STPM bagi sesi 2020 kepada 22 Februari dan 8 Mac tahun ini. Turut ditunda Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.


Pengarang :