Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tiga, kiri) melihat hasil kraftangan penduduk Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Buloh pada 25 Mac 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bantu bina rumah, mudahkan penggerak Orang Asli laksana aktiviti dakwah

SUNGAI BULOH, 25 MAC: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membantu membina rumah untuk penggerak masyarakat Orang Asli.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata ketika ini lokasi yang memerlukan pembinaaan untuk memudahkan mereka menjalankan kegiatan dakwah adalah di Kampung Orang Asli Sungai Buloh.

“Rumah seperti kuarters ini untuk penggerak tinggal bersama komuniti Orang Asli, kalau berulang mungkin jauh dan tak banyak aktiviti yang boleh dilakukan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika ditemui selepas jelajah dakwah rentas rimba di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, hari ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat 27 penggerak dihantar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke negeri ini.

Katanya, terdapat kuarters sudah dibina Jakim di kawasan tertentu manakala sebahagian pembinaan rumah baharu di Sungai Buloh akan dibuat bersama antara jabatan tersebut serta Kerajaan Negeri melalui LZS.

Sementara itu, Mohd Zawawi juga memaklumkan LZS telah membantu membina tujuh rumah untuk masyarakat Orang Asli di Sungai Buloh.


Pengarang :