Barisan pensyarah Universiti Selangor (Unisel) yang terlibat pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2021. Foto Facebook Unisel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ekspo Teknologi Malaysia: Unisel gondol dua emas, anugerah khas

SHAH ALAM, 26 MAC: Universiti Selangor (Unisel) melalui skuad Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menggondol dua emas melalui kategori Anugerah Inovasi Pemuda Asia sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2021.

Pasukan diketuai Dr Hazeeq Hazwan Azman turut merangkul Anugerah Khas daripada Persatuan Inovasi dan Penciptaan Cina dalam ekspo julung kali berlangsung secara maya pada 22 Mac hingga hari ini.

Pengarah komunikasi korporatnya berkata kit yang menerima emas tersebut adalah STEM Microworld Kit dan STEM Plant Bitechnology hasil inovasi skuad berkenaan sebagai bahan pengajaran dalam pendidikan STEM.

“Ia menjadi nilai tambah kepada modul STEM Query sedia ada malah boleh digunakan dalam program mentor mentee STEM 2020/2021 yang mendapat suntikan dana geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti),” kata Hasril Abu Hassan dalam kenyataan.

Kemenangan STEM Unisel kali ini hampir sama diraih pada MTE tahun lalu namun dalam kategori berbeza. Pasukan tersebut yang menyertai pertandingan inovasi bermula 2018 juga pernah memenangi Anugerah Khas: Projek Paling Inovatif (MTE2018) dan pingat emas (MTE2019).

Kit STEM Microworld Kit yang dibangunkan skuad Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Selangor (Unisel). Foto Facebook Unisel

Dr Hazeeq Hazwan berkata pertandingan dalam talian kali ini memberi cabaran besar buat mereka terutama daripada aspek persiapan memandangkan pensyarah dan pelajar perlu berhubung melalui kaedah sama manakala bahan modul dihantar menggunakan pos akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ahli pasukan bagaimanapun menunjukkan komitmen sangat baik sehingga mampu mempertahankan rekod bersih sejak 2018 dan kemenangan dalam pertandingan inovasi antarabangsa ini melambangkan kecemerlangan Unisel dalam bidang penyelidikan khususnya pendidikan STEM negara,” katanya.

Delegasi Unisel terlibat adalah 12 pelajar dan 15 pensyarah Pusat Pengajian Asasi dan Umum, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran serta Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.


Pengarang :