EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud meninjau program Saringan Komuniti Bersasar percuma secara di Dewan MPSJ Puchong Indah, Puchong pada 28 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sektor industri minta Selangor dapatkan bekalan vaksin

SUBANG JAYA, 1 MAC: Kerajaan Selangor menerima permintaan beberapa syarikat industri untuk mendapatkan bekalan vaksin sebagai langkah melindungi pekerja mereka daripada jangkitan Covid-19.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan memberi keutamaan kepada syarikat berkaitan yang memohon dan membayar vaksin tersebut.

“Syarikat industri ini minta kita dapatkan vaksin dan sanggup bayar kos tersebut supaya mereka boleh memberi suntikan segera terhadap pekerja.

“Bagaimanapun, pada peringkat awal ada kawalan daripada kerajaan pusat kerana dibimbangi bekalan tidak mencukupi,” katanya selepas meninjau program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Indah semalam.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata syarikat berkaitan juga menyatakan hasrat untuk menyertai program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

“Di Selangor, kita lihat ada kumpulan yang dipanggil sangat terdedah kepada jangkitan Covid-19 iaitu golongan pekerja. Jika berlaku jangkitan, ia boleh merebak dengan cepat.

“Pendekatan diambil syarikat terbabit bagi memastikan operasi kilang dapat diteruskan seperti biasa dan mampu menurunkan kadar kes di samping meneruskan usaha mencegah penularan wabak,” katanya.

Sebanyak dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang dibeli Kerajaan Selangor dijangka diperoleh pada Mei atau Jun depan.

Selain mengurangkan beban kerajaan persekutuan, langkah itu bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi untuk penduduk negeri ini sekali gus menjamin kesihatan rakyat.


Pengarang :