Salehah Ismail menunjukkan koleksi tudung yang dijual di butik Bokitta Yasmeen di Cyberjaya
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tampung risiko, usahawan berani buka empat cawangan dalam rugi

Foto Hafiz Othman

Meninggalkan gaji besar dalam industri petroleum, impian Salehah Ismail, 48, memiliki perniagaan sendiri akhirnya tercapai selepas menjual tudung secara ‘suka-suka’ dalam talian.

Segalanya bermula pada Ogos 2016. Salehah melabur hampir RM200,000 wang simpanan 30 tahun bekerja sebagai perunding teknologi maklumat. Beliau membuka perniagaan butik Bokitta Yasmeen di Kota Damansara.

Namun, berniaga tidak semudah yang disangka. Salehah menghadapi tekanan apabila hasil jualan bulanannya tidak mampu menampung kos operasi.

Salehah menanggung kerugian mencecah RM30,000 sebulan. Ikut hati, sudah lama perniagaan itu berkubur tapi suami sentiasa memberi semangat untuk Salehah terus melangkah.

Tambah merumitkan, syarikat induk pengeluar tudung berpangkalan di Lubnan juga mengeluarkan corak terbaharu setiap bulan. Sebagai pengedar, Salehah tiada pilihan lain dan menerima stok baharu mengikut kuota seperti yang disyaratkan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan jualan. Bukan sahaja menerusi dalam talian tetapi beliau memberanikan diri menyertai acara besar demi mengurangkan kerugian ditanggung.

“Keadaan ini menyebabkan saya semakin tertekan kerana stok tudung semakin banyak tidak terjual. Setiap kali datang ke butik, kepala pening bila tengok banyak stok tudung baharu dihantar oleh ibu pejabat Bokitta,” katanya kepada SelangorKini baru-baru ini.

Salehah tahu, keadaan ini tidak boleh dibiar berlanjutan. Sampai bila terpaksa mengeluarkan modal tambahan? Lambat laun wang simpanan pasti habis jua.

Kembang pasaran

Selepas mendapat nasihat rakan yang juga ahli perniagaan berpengalaman, Salehah tekad membuka cawangan baharu. Risiko tidak lagi dipeduli. Ini pertaruhan besar.

Pada 2017, Salehah membuka cawangan Bokitta Yasmen di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Ternyata keputusan itu tepat. Jualan tudung di sana mampu menampung kos operasi, juga ada sedikit keuntungan.

Cawangan butik Bokitta Yasmeen di Cyberjaya

Pada 2018, beliau membuka satu lagi cawangan di Cyberjaya sebelum membuka cawangan keempat di Alor Setar setahun kemudian.

Bokitta merupakan jenama tudung antarabangsa terkenal di banyak negara antaranya di Asia Barat dan Asia Tenggara berikutan keistimewaan rekaannya yang boleh dipakai tanpa perlu digosok serta tidak menggunakan pin serta bercorak eksklusif yang menarik sehingga mampu mengumpul pengikut setia jenama ini.

Seiring pembukaan empat cawangan yang dimiliki, jualan juga meningkat hingga memberi pulangan lumayan.

“Biasanya sebulan boleh dapat lebih RM50,000 tetapi jika ada pelancaran corak baharu jualan boleh melebihi RM70,000 sebulan,” kata Salehah.

Selain jualan empat butik, Salehah turut memasarkan tudung ke platform seperti Lazada dan Shopee.

Untung berganda

Kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 juga tidak kurang hebatnya sehingga jualan Salehah jatuh sebanyak 40 peratus kerana premis tidak beroperasi.

Jika sebelum itu butik Bokitta Yasmeen mampu menjual kira-kira 5,000 tudung sebulan namun hanya kira-kira 3,000 helai terjual sejak PKP bermula.

Nasibnya agak baik selepas menyertai Selangor e-bazar 11.11 Jualan Mega bersama Lazada dan Shopee anjuran Kerajaan Negeri pada November 2020.

Hasilnya, Bokitta Yasmeen menjadi antara empat perniagaan yang mencatatkan jualan tertinggi dalam acara jualan itu oleh Majlis Teknologi Maklumat dan E-dagang Selangor (Sitec).

“Dalam sehari itu, nilai jualan produk saya mencecah RM30,000 dan jumlah ini dianggap tinggi ketika era pandemik.

“Kalau butik dibenarkan berniaga tentu jualan lebih tinggi tetapi nak buat macam mana, arahan kerajaan perlu dipatuhi untuk mengawal wabak daripada terus menular,” katanya.

Salehah berkata Selangor E-bazar 11.11 Jualan Mega bersama Lazada dan Shopee memainkan peranan besar dalam membantu beliau mengharungi saat sukar era pandemik Covid-19 .

Beliau berharap program Selangor E-Bazar Jualan Mega dianjurkan lagi pada masa akan datang. Salehah juga merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan membuka beberapa cawangan di seluruh negara.

 


Pengarang :