Ir Izham Hashim (kiri) bersama Dato’ Mohammad Redzuan Othman bergambar dengan pemenang pertandingan ‘Ground Test The Tomanz’ Mohd Zainal Saari dan ikan toman seberat 3kg yang berjaya dinaikkannya di Unisel, Bestari Jaya pada 3 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri majukan perairan sebagai taman ikan, tarik kaki pancing

BESTARI JAYA, 3 APRIL: Kerajaan Selangor memajukan beberapa perairan negeri ini untuk dijadikan taman ikan sekali gus berpotensi sebagai tarikan agro pelancongan.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata lokasi terlibat ialah Pantai Batu Laut di Tanjung Sepat, Kelong Paradise dan Sungai Air Tawar di Sabak Bernam.

Ir Izham Hashim menjelaskan antara kerja yang dilaksanakan sekarang adalah projek menurunkan tukun yang berfungsi menarik lebih banyak habitat ikan.

“Apabila ikan berkumpul di kawasan tukun, ia akan menjadi taman ikan. Sekarang sudah ada perkembangan positif apabila ada yang memaklumkan sudah banyak ikan di kawasan-kawasan terbabit.

“Perkembangan sebegini bukan saja menggembirakan nelayan, tetapi pada masa sama boleh menggiatkan aktiviti sukan memancing. Saya yakin aktiviti sebegini akan menggerakkan agro pelancongan di Selangor, lebih-lebih lagi ketika situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Ground Test The Tomanz’ di Universiti Selangor (Unisel) pagi tadi yang turut dihadiri Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Izham menambah program anjuran universiti itu akan menggiatkan lagi aktiviti sukan memancing di negeri ini memandangkan ia mempunyai pusat pembiakan ikan untuk tujuan komersial.

“Kami amat mengalu-alukan pihak universiti terlibat dengan program sebegini kerana mereka mempunyai pakar-pakar dalam bidang tertentu,” katanya.


Pengarang :