BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun 50 peratus sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan kempen pengurangan kompaun 50 peratus terhadap sembilan kesalahan sepanjang Ramadan ini bagi membantu orang awam menyelesaikan tunggakan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata kempen sejak semalam hingga 12 Mei ini juga sebagai mengelak orang kena kompaun (OKK) dikenakan tindakan lebih tegas.

“Sehubungan itu majlis menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) setiap Sabtu di pasar raya terpilih.

“Bayaran terus boleh dibuat di kaunter utama Wisma MBSA atau pejabat cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning serta Setia Alam,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya MBSA turut memberikan pengurangan kompaun sehingga RM30 bagi kesalahan tempat letak kereta.

“Orang ramai dinasihatkan mengambil peluang ini sebelum tindakan tegas dikenakan termasuk sekatan urusniaga di kaunter MBSA atau dikenakan tindakan mahkamah.

“Sebarang pertanyaan boleh hubungi bahagian Pengurusan Hasil Jabatan Kewangan di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 selain portal MBSA di eps.mbsa.gov.my,” katanya.

Berikut merupakan kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus:

1- Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983
2- Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005
3- Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005
4- Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007
5- Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007
6- Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007
7- Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007
8- Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007
9- Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007


Pengarang :