Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menerima vaksin Covid-19 pada 13 April 2021. FotoBERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pelumba basikal trek Muhammad Fadhil, atlet pertama terima vaksin

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis mengetuai senarai 264 atlet dan pegawai menerima dos pertama suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bermula hari ini.

Beliau diikuti oleh rakan sepasukannya Anis Amira Rosidi sebagai atlet wanita pertama, manakala atlet memanah para S Suresh menjadi atlet para pertama menerima suntikan vaksin itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

Ia adalah sebagai persediaan kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik, melibatkan para atlet dan pegawai yang sudah dan sedang berusaha untuk layak ke Tokyo.

Kesemua atlet dalam senarai itu akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

Turut akan menerima suntikan hari ini ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Temasya Sukan Olimpik akan berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos, manakala Paralimpik dijadualkan bermula 24 Ogos hingga 5 Sept depan.

-BERNAMA


Pengarang :