Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0980/1030 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Ringgit dibuka menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika tumpuan beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang dijadual berlangsung lewat Selasa, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit diniagakan pada 4.0980/1030 berbanding dolar AS daripada 4.0960/1000 pada akhir dagangan Isnin.

Seorang penganalisis berkata, biarpun sentimen terhadap ringgit dijangka pulih berikutan petunjuk ekonomi yang positif, keadaan semasa sebaliknya kekal tidak menentu ketika pelabur memilih untuk bersikap berhati-hati menjelang mesyuarat dua hari FOMC tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan menerusi laporannya pada Jumaat lepas, berkata Indeks Pelopor (IP) yang positif pada Februari 2021, memberi isyarat bahawa Malaysia menuju ke arah ekonomi yang semakin mengukuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA, Edward Moya berkata keputusan dasar FOMC itu dianggap tidak memberi kejutan kerana telah dijangkakan mengekalkan pendirian semasa membabitkan kadar faedah atau pembelian aset walaupun dalam persekitaran pemulihan ekonomi.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lainnya.

Ringgit bagaimanapun susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0903/0952 daripada 3.0890/0932 pada Isnin namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7892/7945 daripada 3.8017/8058, sebelum ini.

Ringgit juga naik berbanding euro kepada 4.9500/9577 daripada 4.9545/9602 serta mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6938/7011 daripada 5.6992/7056.

– BERNAMA

 


Pengarang :