Petugas Kesihatan Selcare menganalisis sampel Covid-19 ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Titiwangsa, Hulu Langat pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Petaling sumbang hampir 40 peratus kes di Selangor

SHAH ALAM, 17 MEI: Hampir 40 peratus daripada 1,650 kes harian Covid-19 di negeri ini membabitkan daerah Petaling, kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Menurut data dikongsi agensi itu di Facebook, daerah terbabit mencatatkan 621 kes, naik dua kali ganda berbanding 248 kes yang dilaporkan semalam.

Mukim Petaling yang berada dalam daerah itu merekodkan 259 kes diikuti Damansara sebanyak 183 kes, sementara Sungai Buloh (117) dan Bukit Raja (62).

Hulu Langat, daerah yang mencatatkan jangkitan kedua tertinggi melaporkan 391 kes membabitkan Kajang (137), Cheras (112), Ampang (76), Semenyih (39), Beranang (14) dan Hulu Langat (13).

Klang pula melaporkan 209 kes iaitu 183 jangkitan di mukim Klang dan 16 lagi di Kapar. Gombak mencatatkan 161 kes iaitu Batu (70), Kuang (42), Rawang (27), Hulu Kelang (20) dan Setapak (dua).

“Sebanyak 137 kes dikesan di Kuala Langat, masing-masing di Telok Panglima Garang (96), Tanjung 12 (25), Batu (11), Bandar (empat) dan Kelanang (satu).

“Sepang melaporkan 53 kes dengan Dengkil (38), Sepang (lapan) dan Labu (tujuh). Kuala Selangor merekodkan 43 kes melibatkan Ijok (22), Jeram dan Kuala Selangor (lapan), Bestari Jaya (empat) serta Tanjong Karang (satu),” menurut jabatan itu.

Agensi tersebut menambah sebanyak 26 kes baharu dicatatkan di Hulu Selangor membabitkan 23 kes di Serendah, manakala masing-masing satu di Rasa, Ampang Pecah dan Batang Kali.

“Jangkitan terendah dilaporkan di Sabak Bernam sebanyak enam kes iaitu Bagan Nakhoda Omar (tiga), Pasir Panjang (dua) dan Pancang Bedena (satu),” katanya.

Keseluruhannya, Selangor mencatatkan 155,311 kes Covid-19 sejak pandemik menular.

Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

Pengarang :