Mohd Rashidi Ruslan (baju putih) menyarungkan jaket keselamatan kepada salah seorang penghantar makanan bermotosikal di perkarangan Dewan Bankuet MBSA, Shah Alam pada 5 Mei 2021. Foto ihsan MBSA
PBTSELANGOR

Kebenaran operasi bazar ketika PKP, MBSA tunggu arahan negeri

SHAH ALAM, 5 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menunggu arahan Kerajaan Negeri berhubung kebenaran meneruskan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam berkata pihaknya akur terhadap apa jua keputusan selepas enam daerah negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita tunggu keputusan Kerajaan Negeri sama ada diteruskan atau tidak. MBSA sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, kita akur dan patuh,” kata Mohd Rashidi Ruslan.

Beliau yang ditemui pada program Kempen Keselamatan Jalan Raya di sini berkata pemantauan di tempat awam termasuk pasar diperketat menjelang Aidilfitri minggu depan.

“Setakat ini, seramai 200 penguat kuasa ditugaskan tetapi kita akan tambah lagi bilangan termasuk memperketat pemantauan terutama di pasar awam dan bazar Aidilfitri,” katanya.

Enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Hulu Langat, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan semula PKP berkuat kuasa esok hingga 17 Mei.

Tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor kekal dalam kawasan PKPB.


Pengarang :