Selangorkini
Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita mainan kanak-kanak tanpa pelekat keselamatan di sebuah premis di Seri Kembangan pada 7 Mei 2021. Foto KPDNHEP
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP sita 78 mainan hampir RM5,000 tanpa pelekat keselamatan

SHAH ALAM, 8 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita 78 unit mainan kanak-kanak tanpa pelekat keselamatan berjumlah RM4,832 di sebuah premis di Seri Kembangan semalam.

Pengarahnya Zikril Azan Abdullah berkata mainan itu didapati tidak dideklarasikan mengikut Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Perakuan Pematuhan Dan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan) 2010 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana menawarkan barang atau perkhidmatan yang tidak mematuhi piawaian keselamatan.

“Kesalahan turut disiasat di bawah Peraturan 4 (2), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu pemilik produk perlu membuat deklarasi mainan itu mematuhi piawaian keselamatan dalam bentuk perakuan pematuhan dikeluarkan oleh pengawal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Zikril Azan, pemilik premis boleh didenda sehingga RM50,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi perseorangan manakala jika pemilik merupakan pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan.

“Serbuan ini dilakukan berdasarkan aduan orang awam. Kami akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang demi kepentingan rakyat,” katanya.


Pengarang :