Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh pada 26 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Makin ramai buat saringan lepas raya, cecah 3,000 peserta

SUNGAI BULOH, 25 MEI: Bilangan peserta Saringan Komuniti Covid-19 di beberapa lokasi mencecah 3,000 orang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata rata-rata bimbang terhadap penularan virus susulan aktiviti ziarah ketika Syawal.

“Mereka bimbang sekiranya terdedah jangkitan virus dan rasa berisiko. Atas kesedaran itu mereka datang ke saringan bagi memastikan diri terhindar virus.

“Berbanding saringan ketika puasa, purata pendaftaran antara 1,000 hingga 2,000 orang untuk satu-satu tempat namun meningkat kepada 3,000 selepas raya,” kata Norafida Zamri ketika ditemui.

Saringan percuma diteruskan hari ini di Dewan MBSA Paya Jaras dan Dewan Komuniti Damansara Damai mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

Sementara itu, Norafida mengakui hampir 50 peratus peserta saringan terdedah risiko jangkitan berikutan mereka kontak rapat kes positif.

“Berdasarkan data ini, kita cuba perbanyakkan kaunter supaya peserta tidak berkumpul hingga terdedah jangkitan sebab tidak tahu siapa dijangkiti,” katanya.

Sejak 8 Mei hingga kelmarin, seramai 36,780 individu menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 melibatkan sekitar Gombak, Hulu Langat serta sebahagian Petaling.

Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sehingga 10 Jun ini.


Pengarang :