Petugas Kesihatan Selcare melakukan analisis sampel calitan ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Komuniti Taman Muda, Ampang pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri WP digesa contohi Selangor buat saringan percuma

SHAH ALAM, 17 MEI: Menteri Wilayah Persekutuan digesa mencontohi langkah Kerajaan Selangor yang mengadakan saringan percuma untuk menangani kenaikan kes Covid-19.

Ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan berkata gesaan itu susulan peningkatan mendadak kes baharu di Kuala Lumpur selain mengenal pasti ‘pembawa senyap’ virus berkenaan.

“Menteri Wilayah Persekutuan harus mengambil iktibar Kerajaan Selangor yang berjaya mengesan hampir 80 peratus individu berumur 20 hingga 40 tahun yang didapati positif tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom menerusi program saringan pada 8 hingga 11 Mei lalu.

“Kami sedia membantu kementerian membuat hebahan mengenai program saringan komuniti bersasar kepada penduduk di Parlimen masing-masing supaya kita sama-sama dapat mengawal penularan wabak dan seterusnya mengurangkan jumlah kes,” menurut kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dibuat Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Menurutnya lagi, terdapat lebih 300 kes baharu sehari dicatatkan di Kuala Lumpur selama tiga hari berturut-turut bermula 14 Mei hingga 16 Mei 2021.

“Ini sepatutnya membuka mata menteri supaya bertindak lebih agresif dan melaksanakan pendekatan baharu untuk mengurangkan jumlah kes,” katanya.

Semalam, Kuala Lumpur merekodkan 342 kes Covid-19 daripada 3,780 kes seluruh negara, manakala Sabtu (398) dan Jumaat (306).


Pengarang :