AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Azura, Salih Yaacob penyeri Senandung Aidilfitri

SHAH ALAM, 14 MEI: Dikendalikan dua pengacara terkenal, Senandung Aidilfitri yang bakal bersiaran di YouTube Selangor TV malam ini menampilkan Raja Azura dan juga Salih Yaacob.

Raja Azura atau lebih disenangi dengan panggilan Kak Engku berkata pengalaman kerja lebih 10 tahun bersama Salih Yaacob memudahkan mereka mengendalikan program anjuran Kerajaan Selangor itu.

“Saya percaya penonton tidak akan bosan kerana pelbagai perkara menarik ditampilkan. Malah, kami berdua juga cuba menceriakan suasana walaupun ia diadakan secara maya.

“Selain persembahan artis-artis terkenal, program ini juga akan ketengahkan makanan dan tempat-tempat menarik di Selangor, sebenarnya banyak sangat tempat menarik di negeri ini,” katanya kepada SelangorKini.

Selain pelakon terkenal itu, Senandung Aidilfitri #KitaSelangor yang berlangsung selama sejam itu juga akan diserikan dengan takbir raya, persembahan nyanyian dan sketsa.

Antara artis terkenal turut terlibat ialah Siti Nordiana, Najwa Latif, Bunkface dan Ahmad Yassin yang memiliki versi suara Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Sementara Che Puan Juliana Evans dan Ropie Cecupak pula melakonkan sketsa nasib golongan berpendapatan rendah yang menerima Inisiatif Peduli Rakyat.

Selain SelangorTV, program itu akan disiar melalui Facebook Media Selangor pada jam 9 malam ini.


Pengarang :