Petugas kesihatan Klinik Selcare mengambil sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) ke atas peserta Program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan secara percuma di Dewan MPAJ Pandan Indah, Ampang pada 11 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Saringan Komuniti kesan 293 kes positif, sebahagian besar tiada gejala

AMPANG, 11 MEI: Sebanyak 293 kes positif Covid-19 dikesan daripada 6,429 sampel diambil di enam lokasi program Saringan Komuniti.

EXCO kesihatan awam berkata kebanyakan daripada kes dikesan daripada kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) tidak bergejala.

“Jumlah individu disaring di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih 1,000 dan melepasi sasaran awal.

“Diharap sambutan masyarakat berterusan kerana tujuan kita untuk mengesan mereka positif Covid-19 tanpa bergejala yang dianggap pembawa senyap,” kata Dr Siti Mariah Mahmud selepas meninjau saringan Covid-19 di Dewan MPAJ Pandan Indah di sini hari ini.

Beliau berkata individu disahkan negatif pula tidak harus meletakkan diri dalam keadaan selesa sebaliknya terus meningkatkan kawalan kendiri.

“Ini kerana mereka boleh dijangkiti sekiranya bergaul dengan individu yang positif selain tidak menjaga tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih pada 8 Mei, Sungai Ramal dan Balakong (9 Mei) manakala semalam di Teratai dan Dusun Tua sebelum diteruskan di Lembah Jaya dan Pandan Indah hari ini.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my .


Pengarang :